BAB
6
Seusai solat Asar, Irina bersiap ala kadar sahaja
sebelum dia mendapatkan basikalnya yang berada di bawah rumah. Jarak rumah Aizat
dengan rumahnya tidak begitu jauh kira-kira 15 minit perjalanan apabila
berjalan kaki.
Mujur
sebelum ini dia pernah menziarahi rumah Aizat apabila Nek Jah memintanya untuk
menghantar kuih kepada Puan Zulaikha iaitu ibu kepada Aizat sebagai balasan juadah
yang pernah diberi kepada Nek Jah sebelum ini. Jadi tidak susah untuk Irina
mencarinya untuk kali kedua.
Setibanya
di rumah Aizat, Irina terasa kekok dan serba salah untuk memberi salam. Hatinya
terasa gelisah dan berdebar-debar melihat pintu rumah itu yang terbuka
menandakan tuan rumah ada di dalam.
Irina
berkira-kira mahu pulang sahaja dan mahu membatalkan niatnya itu. Belum sempat
Irina berpatah balik daripada halaman rumah Aizat, Aizat muncul di beranda.
Kehadiran Irina disedari oleh Aizat.
“Irina, tunggu dulu! Nak ke mana tu?
Marilah masuk. Ibu ada di dalam. Aizat dah beritahu ibu yang Irina nak datang.
Dari tadi dia dah tertunggu-tunggu kedatangan Irina. Aizat ingatkan Irina tak
jadi nak datang. Itu sebab Aizat keluar ni, mahu menjemput Irina datang ke
rumah. Mujur Irina dah sampai.” Aizat cuba menegah Irina daripada berpatah
balik.
Mahu
atau tidak, kehadirannya sudah disedari oleh tuan rumah. Irina menongkatkan
basikalnya di hadapan laman rumah. Lambat-lambat Irina mengekori Aizat masuk ke
ruang tamu.
“Duduklah
dulu, ibu ada di dapur. Nanti Aizat panggilkan.” Aizat mempelawa Irina duduk.
Irina
hanya menurut kata-kata Aizat. Aizat berlalu meninggalkan Irina sendirian di
ruang tamu untuk memanggil Puan Zulaikha yang sedang sibuk menggoreng pisang.
Sepeninggalan
Aizat itu memberi ruang kepada Irina meneliti susun atur dan hiasan dalaman di
ruang tamu tersebut. Biarpun tampak ringkas, pengekalan gaya Melayu Tradisional
yang semakin kurang diterapkan oleh masyarakat kini begitu mengujakan.
Berada
di dalam rumah ini seperti berada di istana lama kesultanan Melayu. Tidak
hairanlah kerana Encik Isa mempunyai perniagaan perabot kayu jati yang
mengekalkan konsep tradisional. Perniagaan tersebut diwarisi daripada arwah
bapanya.
Menurut
Nek Jah, Encik Isa berpindah semula ke kampung itu atas permintaan arwah bapa
Encik Isa, seorang pedagang yang kaya daripada Tanah Besar Sumatera. Pertemuan
jodohnya dengan arwah nenek Aizat di Mersing membuatkan beliau membuat
keputusan untuk menetap di kampung berkenaan.
Sepeninggalan
wasiat bapa Encik Isa supaya meneruskan perniagaan keluarga mereka dan menjaga
rumah pusaka tersebut, Encik Isa terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai
kontraktor di Kuala Lumpur. Sebagai anak tunggal Encik Darus, amanah tersebut
perlu dilaksanakan.
Lamunan
Irina terhenti sebaik sahaja mendengar derapan tapak kaki Puan Zulaikha memijak
papan lantai ruang tamu. Puan Zulaikha muncul sambil menatang dulang berisi
seteko air kopi dan sepinggan pisang goreng yang masih panas.
“Maafkan
makcik ye sebab buat Irina menunggu. Mari, jemput minum.” ujar Puan Zulaikha
mesra.
“Terima
kasih makcik. Susahkan makcik je petang-petang macam ni.” Irina membalas
pelawaan Puan Zulaikha dengan penuh sopan.
“Mana
ada susah Irina. Biasanya pun memang makcik sediakan untuk minum petang kat
rumah ni.” tingkah Puan Irina, tidak mahu membuatkan anak gadis tersebut serba
salah.
Keramahan
Puan Zulaikha membuatkan Irina selesa untuk berbual dengan wanita tersebut.
Puan Zulaikha seolah-olah begitu gembira menerima kehadiran Irina sebagai
tetamunya pada petang itu. Tujuan sebenar kedatangan Irina ke situ dilupakan
seketika.
“Dah
lama makcik tak jumpa Johan, ayah kamu tu Irina. Kami memang bersahabat baik
dari zaman sekolah. Ayah kamu, ayah Aizat dan makcik. Tapi bila masing-masing
sibuk membina kerjaya masing-masing, ayah kamu sudah jarang menghubungi kami.
Mungkin merajuk dengan kami agaknya.” Bersungguh-sungguh Puan Zulaikha
menceritakan persahabatannya dengan bapa Irina.
Ada
nada terkilan di sebalik suara Puan Zulaikha. Irina hanya memerhatikan sahaja
wajah mendung Puan Zulaikha, seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu
fikirannya. Buat seketika, masing-masing membisu melayani perasaan sendiri.
“Makcik…
sebenarnya ada perkara yang saya nak tanya pada makcik.” Irina mula membuka
bicara.
Puan
Zulaikha hanya tersenyum, seperti dapat meneka apa yang bermain di benak
fikiran Irina. Tekaannya tepat apabila melihat Irina mengeluarkan rantai emas
yang begitu dikenalinya daripada poket seluar.
“Pasal
rantai emas yang makcik beri pada saya kelmarin…rantai ni. Saya tak faham
kenapa makcik beri pada saya? Apa kaitan rantai ni dengan saya?” Irina
menghamburkan segala keraguannya itu kepada Puan Zulaikha.
“Irina…sebenarnya
rantai tu memang hak kamu. Makcik cuma menjaganya sebagai amanah yang diberikan
kepada makcik.” Puan Zulaikha mengelus lembut pipi Irina. Bertambah bingung
Irina dengan kata-kata Puan Zulaikha.
“Saya
tak faham… rantai saya? Makcik tolonglah beritahu perkara sebenar pada saya.”
Irina sedikit mendesak.
“Ia
milik ibu kandung kamu Irina. Milik wanita di dalam gambar pada loket tu.”
Seperti
ada kejutan elektrik yang menyambar tubuhnya, Irina kaku tidak dapat
berkata-kata. Kejutan yang diterimanya sebentar tadi tidak dapat diterima oleh
akalnya.
“Apa
makcik cakap ni? Jangan main-mainkan saya… nama mama saya Karina binti Abdul
Rahman. Macamana makcik boleh cakap ini ibu saya? Apa buktinya? Kenapa papa nak
sembunyikan rahsia ni kalau betul ni ibu saya? Tok, Tok Wan…dan mama pun sama.”
bertubi-tubi persoalan yang diajukan oleh Irina. Dia tidak berpuas hati dengan
kenyataan Puan Zulaikha sebentar tadi.
“Irina…
bawak bertenang. Makcik tahu, kamu mesti terkejut dengan apa yang makcik
katakan. Tapi itulah kebenarannya. Tak ada siapa yang mengetahui rahsia ni
selain keluarga kamu dan makcik sendiri.”
Rahsia
yang tersimpan selama 17 tahun kini akhirnya terbongkar juga. Puan Zulaikha
lega kerana dapat menyampaikan amanah yang diberikan kepadanya. Irina pula
terdiam seribu bahasa…
No comments:
Post a Comment