BAB
2
Irina mengeluh kecil. Beg sandangnya dicampak di tepi
sudut katil. Mengharungi hari pertama di sekolah barunya membuatkan tubuh Irina
sedikit lelah. Irina menghempuk tubuhnya di atas tilam. Keadaan di dalam bilik
itu dipandang hambar.
Kemudian,
Irina cuba melelapkan matanya sebentar tetapi gagal. Matanya yang bundar
merenung dalam siling bilik tersebut namun fikirannya melayang entah ke mana.
Kegagalan
ibu bapanya dalam mempertahankan rumah tangga mereka mengakibatkan emosinya
sedikit terganggu. Lantaran itu, dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama
datuk dan nenek sebelah ayahnya di Mersing, Johor.
Menjadi
anak tunggal begitu sukar buat Irina kerana terpaksa berhadapan dengan kemelut
perebutan hak penjagaan Irina oleh ibu dan bapanya. Tidak seorang pun daripada
ibu dan bapanya yang mahu bertolak ansur untuk memberikan hak penjagaan
sepenuhnya terhadap bekas pasangan mereka.
Disebabkan
itulah Irina bertindak memutuskan sendiri hak penjagaannya di bawah datuk dan
nenek sebelah bapanya memandangkan ibunya adalah anak yatim piatu selepas
kematian ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya lima tahun yang lalu.
Mujur
dirinya sudah berusia 17 tahun dan dirinya diberi kebebasan oleh mahkamah untuk
memilih sendiri penjaganya. Kedua – dua ibu bapanya terpaksa akur dengan
keputusan Irina demi masa depan anak tunggal mereka itu.
Lamunannya
sebentar tadi lenyap apabila pintu biliknya diketuk dari luar. Irina bangkit
daripada katil dan segera membuka pintu. Susuk tubuh neneknya terpacul di
hadapan pintu biliknya sebaik ia dibuka. Wajah bersih Nek Jah ditatap seketika.
“Areen
nak makan? Tok dah siapkan makanan untuk makan tengahari. Tok Wan pun sekejap
lagi balik dari surau, boleh la kita makan sama – sama.”
“Kejap
lagi Areen datang. Areen nak tukar baju dulu.” Irina atau nama timangan yang
dipanggil Areen oleh keluarganya tersenyum memandang Nek Jah, cuba menutup
gundah di dalam hatinya.
“Kalau
macam tu Tok tunggu kat dapurlah ye.” Nek Jah yang memahami keadaan cucu
tunggalnya itu segera beredar semula menuju ke dapur.”
Irina
menutup rapat pintu biliknya. Tanpa menunggu lebih lama, pakaian seragam
sekolah ditukar dengan T-shirt dan seluar slack. Irina cepat – cepat beredar
menuju ke dapur untuk membantu Nek Jah menghidangkan lauk – pauk di atas meja
makan sementara menunggu Tok Wannya pulang.
“Assalamualaikum…wah,
banyaknya lauk hari ni Jah oi… ada tetamu nak datang ke?” Tok Karim
menanggalkan kopiah dan diletakkan di atas kerusi rehat miliknya.
“Waalaikumussalam…Ada-ada
aje awak ni. Saya saje je masak lauk lebih sikit hari ni. Masakkan lauk
kegemaran Areen ni. Yelah, seronok saya dah ada teman sekarang dekat rumah ni
ha...” Nek Jah berbasa-basi menjawab pertanyaan suaminya sementara tangannya
lincah menyenduk nasi ke dalam pinggan. Irina yang tidak berkata apa-apa cuma
tersenyum kecil.
“Awak
ni, selama saya dalam rumah ni pun awak boleh cakap tak ada teman? Areen,
tengoklah Tok kamu ni, Tok Wan yang hari-hari depan mata melayan karenah Tok
kamu ni dia kata masih tak ada teman? Hai… kalau awak sunyi boleh aja saya
carikan teman janji awak setujulah ye sain borang untuk saya.” Tok Wan mengusik
isterinya yang sudah menarik muka tanda protes terhadap usikan suaminya.
“Awak
jangan nak mengada-ngada Encik Karim oi… kubur dah kata mari rumah kata pergi
ada hati nak berbini lagi…toksah nak gatal bagi alasan nak carikan saya teman
ke apa. Ke awak yang dah teringin sangat nak berteman lain?” Tok Karim menarik
kerusi makan di sebelah isterinya.
“Awak
ni Jah… dah tua-tua pun masih nak merajuk lagi. Macam la awak tak biasa dengan
perangai saya ni. Hah Areen, mana tak Tok kamu ni berkedut lebih-lebih, asyik
nak muncung je kerjanya.”
Irina
sedikit terhibur dengan gelagat nenek dan datuknya. Tetap mesra dan romantik walaupun
sudah berusia lanjut. Kenapa la mama dan papa tak macam mereka? Ada sayu di
sebalik tubir mata milik Irina.
“Mana
tak saya marahkan awak yang tak habis-habis nak buat saya naik angin? Sudah,
layankan karenah awak sejuk dah nasi kat pinggan ni. Makan Areen, jangan
dilayan sangat Tok Wan kamu ni. Makin tua makin menjadi-jadi.”
Nek
Jah menghulurkan mangkuk berisi lauk gulai asam pedas kepada Irina. Irina
menyambut huluran Nek Jah dan meletakkannya dekat dengan pinggan nasinya.
“Tak
payah susah-susah Tok, Areen pandai ambil sendiri. Areen kan dah besar, bukan
budak kecil lagi.”
“Tok
masih bayang kamu ni kecil lagi Areen. Tak sangka sekejap je kamu dah membesar.
Itulah, jarang benar papa kamu bawa kamu pulang ke kampung masa kamu kecil, Tok
pun ingat-ingat lupa umur kamu yang sebenarnya. Papa kamu pun dah berpindah ke
luar negara makin jarang lah dia nak balik ke sini agaknya.” Nek Jah menghela
nafasnya sedikit.
Mempunyai
anak lelaki tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh dan dipenuhi segala
kehendaknya tetapi akhirnya dek terlalu mengejar kerjaya sehingga lupa akan
tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapa di kampung.
Bukan
wang ringgit yang dipinta tetapi perhatian dan kasih sayang daripada anak yang
dikandung dan dibelai dari kecil itulah merupakan kebahagiaan terbesar buat
dirinya.
Irina
diam seribu bahasa. Nasi di dalam pinggannya disuap perlahan ke dalam mulut.
Perut minta diisi namun seleranya mati mengenangkan pergolakan keluarganya.
Kebahagiaan hidup berkeluarga musnah sekelip mata gara-gara sikap papanya yang
terlalu mementingkan kerjaya sehingga mengabaikan isteri dan anak.
Akibatnya,
mamanya tidak tahan dengan sikap pentingkan diri suaminya dan desakan untuk
berkasih sayang menyebabkan mama menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja.
Kecurangan
mamanya akhirnya terbongkar. Pergaduhan besar yang berlaku di antara mama dan
papa Irina menyebabkan hubungan mereka berakhir. Papa menceraikan mama dengan
talak tiga. Hancur luluh hati seorang anak yang masih mengharapkan perhatian
dan dambaan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya.
“Areen…”
Lamunan Irina terhenti. Baru dia sedar nasi di dalam
pinggannya hanya luak sedikit. Jari-jemarinya hanya menguis-guis sedikit nasi
di dalam pinggan tersebut. Kedua-dua pasangan tua di depannya dipandang
sejenak.
Irina
cuba untuk menyembunyikan gundah di dalam hatinya namun gagal. Matanya sudah
mulai memerah menahan air mata yang hampir tumpah. Tanpa sepatah kata, Irina
bangun ke sinki untuk membasuh tangan. Langkahnya deras meninggalkan dapur menuju
ke arah biliknya.
Kedengaran
pintu bilik Irina ditutup kuat. Nek Jah menghela berat nafasnya. Tok Karim cuba
menenangkan kerisauan yang melanda diri isterinya. Ditepuk-tepuk lembut bahu
isterinya yang hanya memandang sayu wajah suaminya.
“Biarlah
dia bersendirian dulu. Tak mudah Areen dapat menanggung dugaan sebesar ni.
Lebih-lebih lagi ketika umurnya sedang meningkat remaja dan masih menagih
perhatian daripada ibu bapanya.” Tok Karim memujuk isterinya yang tidak keruan
melihat satu-satu cucunya dalam keadaan sedemikian.
“Risau
saya bang tengok keadaan Areen tu. Kenapalah nasib dia boleh jadi macam ni.
Sampai hati Johan bang buat anak dia begini. Jangankan kata kita ni ha yang
jarang dijenguknya, isteri dan anak sendiri pun diabaikannya. Manalah taknya si
Karina tu cari lelaki lain.”
“Silap
kita juga Jah. Manjakan sangat si Johan tu sampai langsung kita tak menegur
silap lakunya selama ni. Tak sangka marahnya pasal hal dulu masih tak hilang
sampai sekarang.”
Ada
kesal di wajah tua Tok Karim. Nek Jah sudah mulai teresak-esak mengenangkan
anak tunggalnya yang kini sudah jauh di perantauan demi mengejar nama dan
pangkat.
Irina menangis sepuas-puasnya di atas katil. Segala
sebak di dadanya selama ini dihamburkan semahu-mahunya. Akhirnya, Irina tertidur
keletihan bersama-sama linangan air matanya yang masih berbaki.
No comments:
Post a Comment