BAB
11
Penerbangan dari Lapangan Terbang Tullamarine ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memakan masa selama lapan jam
sedikit melesukan tubuh Johan. Dibelek jam Rolex berwarna silver ditangan
kirinya. Pukul 7 pagi. Jika di Melbourne, waktu sekarang adalah pukul 9 pagi.
Masih awal lagi. Getus hatinya.
Perbezaan jarak masa sebanyak dua jam antara bumi
kangroo dan tanah airnya sendiri tidak begitu ketara dirasai. Mungkin juga
kerana suasana KLIA yang tidak jauh beza dengan lapangan terbang di sana dan
dikelilingi oleh warga asing yang datang melancong ke mari.
Seusai menguruskan pengambilan bagasinya, Johan
mencari – cari tempat untuk bersarapan. Sekadar mahu mengalas perut sebelum
memulakan perjalanannya semula menuju ke destinasi. Johan memilih Starbucks Coffee
yang tidak ramai pengunjung sebagai tempat untuk mengisi perut.
Setelah memesan secawan kopi latte dan dua ketul
banana muffin, Johan mencari –cari tempat duduk yang sesuai untuk dia
melabuhkan diri. Dia tidak suka tempat yang bingit dan sesak, kerana itulah dia
memilih tempat duduk yang agak strategik pada pandangannya. Sementara menunggu
pesanan sampai, Johan memerhatikan sekeliling sekadar mencari ketenangan.
Kehidupannya yang sentiasa sibuk dengan kerja
menjadikan Johan seorang yang workaholic.
Bebanan kerja sebagai General Manager
yang sangat dipercayai oleh ketuanya di salah sebuah syarikat antarabangsa
termuka memerlukan dirinya bekerja keras untuk memastikan kesemua projek di
bawahnya berjalan lancar. Atas usaha kerasnya selama inilah Johan diberi
kepercayaan untuk menguruskan syarikat yang bertapak di Melbourne, Australia.
Perwatakannya
sebagai seorang lelaki yang mudah mesra dan periang suatu ketika dahulu berubah
seratus peratus semenjak peristiwa yang merobek jiwanya 17 tahun yang
lalu. Mengenangkannya kembali menjadikan
hatinya sakit. Sehingga sekarang cintanya pada isteri yang menghilang tidak
pernah padam. Pernah dia mencuba untuk menjejaki Maria, namun usahanya gagal.
Perkahwinannya bersama Karina pula bukanlah atas dasar
cinta. Dan hidup bersama Karina selama ini seolah – olah mereka hanya sebagai
teman sebumbung sahaja.
Karina, setiausaha kepada rakan bisnesnya sememangnya
menggilai dirinya sejak pertemuan pertama lagi. Bagi Karina, Johan mempunyai
karisma yang boleh membuatkan ramai wanita jatuh cinta kepadanya. Ditambah pula
dengan paras rupa yang menawan dan kedudukan kerjaya yang tinggi, Johan
mempunyai pakej lengkap untuk menjadi lelaki idaman para wanita moden.
Pertemuan demi pertemuan ketika berurusan tentang
kerja menambahkan lagi peluang Karina untuk mendekati Johan namun sikap dingin
Johan terhadapnya menyebabkan Karina sanggup menggunakan cara tidak bermaruah
untuk mendapatkan Johan. Semuanya adalah kerana cinta butanya itu.
Johan dan Karina ditangkap berkhalwat ketika menghadiri
salah satu majlis makan malam pelancaran
projek usahasama syarikatnya dan juga syarikat Karina bekerja di salah sebuah
hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Rancangan Karina berhasil untuk memerangkap
Johan yang tidak sedarkan diri kerana terminum air yang sengaja dicampur ubat
tidur oleh Karina.
Sedar sahaja
pada keesokan harinya, dia sudah pun terlantar di atas katil hotel bersama –
sama Karina. Dan paling menghantuinya apabila mereka diserbu oleh Jabatan Agama
Islam. Untuk membersihkan namanya, Johan bersetuju untuk berkahwin dengan
Karina atas permintaan keluarga Karina dengan bersyarat.
Berita tentang perkahwinannya dikhabarkan pada
keluarga di kampung tanpa mereka mengetahui perkara yang sebenar. Alangkah
gembiranya hati sang ibu apabila mengetahui berita tersebut tanpa mengesyaki
apa – apa. Disangkanya hati Johan telah terbuka untuk berkahwin semula. Namun
hakikatnya itulah titik permulaan dia menjadi seorang lelaki yang dingin dan
pendendam!
Lamunannya terhenti apabila pesanannya tadi sampai.
Selesai sahaja bersarapan, Johan mengusung bagasinya keluar daripada lapangan
terbang itu. Apa yang bermain di kotak fikirannya sekarang adalah anaknya,
Irina!
No comments:
Post a Comment