BAB
5
“Selamat
pagi Irina!” Laila tersenyum lebar tatkala melihat Irina yang baru sahaja
muncul di muka pintu bilik darjah.
Irina
membalas senyuman rakan karibnya itu. Beg galas yang disandangnya disangkutkan
pada kerusi sebaik sahaja menghampiri mejanya. Laila yang duduk di sebelah
mejanya memerhatikan tindak tanduk Irina yang kelihatan tenang sekali.
“Yang
kau tengok aku sampai tak berkelip-kelip mata tu kenapa? Ada bulan ke atas
kepala aku ni yang kau tengok aku sampai macam tu sekali?” Laila hanya
tersengih.
“Mana
ada bulan atas kepala kau, kipas siling ada la… hehehe.” Irina mencebik.
“Banyak
la kau punya lawak… hari ni giliran kau sapu lantai kan? Jangan nak banyak
songeh ye Cik Laila, pergi sapu cepat!”
Irina
bangun dan meninggalkan Laila yang masih duduk di mejanya. Hari ini adalah
gilirannya untuk memastikan papan hijau bersih dan debu-debu kapur tulis
dibuang. Sengaja dia hadir awal pada hari itu kerana hendak memastikan tugas
yang perlu dilaksanakan sempurna sebelum rakan-rakan sekelas yang lain datang.
“Ala
kau ni Reen… mana ada banyak sampah. Tak payah buat la ye? Aku tau la kau tu
AJK Kebersihan dan Keceriaan. Tapi hari ni kau kasi excuse la kat aku ye? Lagipun tangan aku lenguh la…” Laila cuba
mencipta alasan. Sengaja dia membuat muka kasihan pada Irina.
“Ewah,
ingat aku tak tau taktik kau? Dah, dah… tak payah nak pancing aku dengan muka
seposen kau tu, cepat sapu!” Irina tetap bertegas.
Laila
merungut-rungut. Mahu atau tidak, dia terpaksa menjalankan tugasnya itu. Irina
walaupun sangat baik hati tetapi amat tegas apabila dikaitkan dengan tugas dan
tanggungjawab.
Cuma
satu sahaja sikap Irina yang dia tidak faham, sangat garang dengan lelaki.
Bukan dia tidak tahu, kebanyakan pelajar lelaki di sekolah ini gilakan Irina
yang terkenal dengan keaktifannya dalam aktiviti sekolah dan merupakan pelajar
harapan sekolah. Bila ditanya, Irina cuma tersenyum. Alasannya, lelaki tak
boleh dipercayai.
Sedang
sibuk Irina membersihkan papan hijau, Aizat dan Harris muncul. Dua sekawan yang
digelar belangkas kerana sentiasa berdua kemana-mana sahaja. Perhatian Irina
terkalih sebaik terpandang Aizat. Sememangnya dia menanti-nantikan kehadiran
Aizat sejak awal tadi.
Aizat
meletakkan beg sandangnya di kerusi, namun dia mencuri pandang ke arah Irina
yang hampir selesai melakukan tugasnya. Tidak disangka apabila Irina tiba-tiba
melangkah menuju kearahnya.
“Aizat,
saya ada hal sikit nak cakap dengan awak. Tentang barang yang mak awak bagi tu.
Lepas sekolah boleh saya ke rumah awak? Saya nak jumpa mak awak.” Irina berkata
agak perlahan. Takut didengari oleh rakan-rakan yang lain.
“Okey.
Tapi awak tak kisah ke kita balik bersama lagipun Harris balik dengan saya.”
sempat dia menjeling ke arah Harris dan Laila yang sedang sibuk berbual mesra.
Bukan dia tidak tahu Irina tidak sukakan Harris.
“Saya
balik rumah dulu, petang karang saya datang. Thanks pasal semalam.” Irina tersenyum. Aizat membalas senyuman Irina.
Harris
dan Laila hanya memandang mereka berdua dengan kehairanan. Langsung tidak
didengari butir bicara mereka berdua. Sejak bila Irina rapat dengan Aizat?
Selama ini langsung tidak pernah mereka melihat Aizat dan Irina berbual mesra
di dalam kelas. Irina kembali ke mejanya.
Deringan
loceng berbunyi menandakan sesi pembelajaran yang pertama sudah bermula. Harris
yang duduk bersebelahan dengan meja Aizat menyiku rakannya itu yang sedang
mengeluarkan buku teks daripada beg.
“Kau
nak apa siku-siku aku ni Harris?” Aizat sedikit terganggu.
“Sejak
bila kau rapat dengan ‘singa betina’ tu? Aku tak pernah tengok dia berbual
dengan kau dalam kelas. Jangankan kau, budak-budak lelaki lain pun dia buat tak
tau je. Apa mimpi dia hari ni?” Harris cuba mengorek rahsia.
“Mana
ada mimpi-mimpi. Ada la, sibuk je nak tau. Busybody!”
“Eh,
bukan aku je yang pelik tau, Laila kawan baik dia pun pelik tengok korang
berdua. Nasib budak-budak yang lain tak nampak, kalau tak dah jadi gosip hangat
pagi ni.” Harris sengaja mahu memprovok Aizat.
“Apa
yang nak dihairankan sangat, kita ni sekelas. Kiranya Irina tu kawan sekelas
kita. Takkan la dia nak cakap dengan aku pun salah?” Aizat malas mahu
memanjangkan ceritanya. Harris, bukan boleh dilayan sangat. Ada saja rahsia
yang mahu dikoreknya.
“Dengan
aku bukan main lagi garang…” Harris seperti tidak puas hati.
“Sebab
kau tu cakap main ikut sedap mulut je. Mengayat awek nombor satu…” Aizat
menyindir Harris.
“Nak
buat macamana, perempuan yang cari aku mintak tolong, takkan aku tak nak
tolongkan…” Harris menyengih kerana tahu Aizat menyindirnya.
Perbualan
mereka terhenti apabila menyedari Cikgu Haidar, guru subjek Bahasa Melayu sudah
masuk ke kelas. Kesemua murid kelas tersebut bangun dan mengucapkan selamat
kepada Cikgu Haidar. Setelah itu, mereka dibenarkan duduk untuk memulakan
pembelajaran subjek Bahasa Melayu pada pagi itu.
Pembelajaran
hari ini berjalan dengan lancar dan kesemua murid memberikan sepenuh perhatian
terhadap pelajaran tersebut. Memandangkan tahun ini mereka mempunyai
peperiksaan besar iaitu SPM tidak lama lagi, pelajar-pelajar kelas tingkatan
Lima Berlian gigih berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Walaupun mereka hanya anak-anak
kampung, ia tidak mematahkan semangat anak-anak muda tersebut untuk terus maju
seperti anak-anak lain yang tinggal di bandar.
Deringan
loceng sekolah yang berbunyi tepat pada pukul 1.30 petang menandakan sesi
persekolahan pada hari itu tamat. Murid-murid di dalam kelas tersebut sibuk
mengemas dan memasukkan buku di dalam beg masing-masing. Kebanyakan murid-murid
sudah berpusu-pusu untuk pulang ke rumah. Cikgu Kamal yang mengajar subjek
Sains sudah pun keluar sepuluh minit lebih awal daripada kelas tersebut
memandangkan terdapat mesyuarat mingguan guru-guru pada hari ini.
Seperti
biasa, Irina akan menyemak terlebih dahulu tugasan yang diberi oleh
guru-gurunya. Setelah mencatat subjek dan jenis tugasan yang perlu disiapkan
segera pada hari itu di dalam buku catatannya, Irina berkemas untuk segera
pulang.
Laila
sudah lama menghilang kerana sudah menjadi rutin, bapanya yang akan
menjemputnya pulang. Disebabkan itulah, Laila tidak boleh berlama-lama di dalam
kelas sebaik sesi persekolahan tamat. Takut dileteri bapanya kerana terpaksa
menunggu lama. Berlainan dengan Irina kerana dia menaiki basikal ke sekolah.
Dia tidak mahu menyusahkan Tok Wannya yang sudah tua itu walaupun sudah acap
kali Tok Karim mahu menghantar dan menjemputnya ke sekolah.
Setibanya
di rumah, Irina bergegas menukar pakaian seragam sekolahnya kepada pakaian
biasa. Setelah selesai mengerjakan solat Zohor, Irina keluar daripada biliknya
untuk mencari kelibat Nek Jah di belakang rumah.
Menjadi
rutin harian Nek Jah untuk mengangkat pakaian yang sudah kering di jemuran pada
waktu-waktu begini. Tok Karim pula baru sahaja pergi menjengah kebun sayurnya
yang terletak di baruh selepas solat Zohor tadi. Kebetulan, dia perlu
menguruskan upah pekerja-pekerjanya.
Walaupun
hanya berniaga sayur-sayuran, kecekapan sistem pengurusan perniagaan Tok Karim
yang teratur dan terancang begitu membanggakan sehingga dinobatkan sebagai
salah seorang peniaga yang berjaya di sekitar daerah Mersing.
“Tok…”
Irina menegur Nek Jah yang sedang leka mengangkat pakaian.
“Hah
Areen, dah balik kamu rupanya. Dah makan?” Nek Jah yang baru menyedari
kehadiran Irina di situ mengalihkan pandangannya ke arah Irina yang sedang
duduk di pangkin menunggu Nek Jah menyudahkan
kerjanya.
“Belum
lagi. Areen baru je lepas solat Zohor tadi. Tok dah makan ke?” Irina
menguis-nguis daun kering di tanah menggunakan hujung jari kakinya.
“Tok
dah makan tengahari dengan Tok Wan kamu tadi. Sudah, kamu cepat masuk dalam
pergi makan. Nanti lewat makan, masuk angin pulak perut tu. Kamu tu dah la ada
gastrik.” Irina membontoti Nek Jah masuk ke dalam rumah.
“Tok,
petang sikit lepas Asar Areen nak ke rumah Aizat sekejap, boleh?” Irina
memberitahu niatnya yang dipendam sejak malam semalam kepada Nek Jah.
Nek
Jah hanya mengangguk. Memahami apa yang bermain di fikiran gadis itu selepas
menerima bungkusan daripada Aizat. Biarlah, lambat laun dia akan tahu juga… Nek
Jah bermonolog sendiri di dalam hati.
No comments:
Post a Comment