BAB
8
Irina termenung sendirian. Tebing sungai kecil di
hujung muara sudah menjadi tempat dia menenangkan fikirannya tatkala dilanda
kerunsingan. Batu-batu kecil yang dikutip dibaling satu persatu ke dalam air.
Sekadar menghilangkan kegusaran di dalam hatinya.
Rantai
emas yang disimpan kemas dalam poket seluar tracknya dikeluarkan. Gambar di
dalam loket rantai itu ditenung lama. Antara percaya atau tidak, wanita
Inggeris itu adalah ibu kandungnya!
Selepas
pulang dari rumah Aizat semalam, Irina tidak berkata walau sepatah pun dengan
datuk dan neneknya. Makan malam yang terhidang juga langsung tidak disentuh.
Nek Jah yang sedar akan kelainan tingkah laku Irina, tidak berkata apa-apa
memandangkan dia dapat mengagak puncanya.
Lama
dia memerhatikan gambar tersebut. Wajahnya ada persis seperti wanita tersebut
walaupun rambutnya hitam keperangan seperti bapanya. Matanya pula berwarna
coklat terang, menambahkan lagi kejelitaannya.
Memang pada mulanya dia menganggap
rakan-rakannya hanya bergurau mengatakan dia seperti anak kacukan memandangkan
kulitnya putih melepak dan kemerah-merahan, ditambah lagi dengan matanya yang
tidak seperti warna kebanyakan orang Melayu.
Apabila
diajukan soalan itu kepada ibunya, Puan Karina hanya senyum dan mengatakan sewaktu
dia mengandung, dia suka minum air soya sebab itulah Irina putih melepak.
Hakikatnya, dia bukan anak kandung mama!
Aizat
dan Harris menuntun basikal mereka menuju ke tebing sungai. Petang-petang
begini memang menjadi kebiasaan mereka menghabiskan masa memancing di tebing
sungai berdekatan dengan muara itu. Aizat menghentikan perjalanannya secara
tiba-tiba. Lama dia memerhatikan sesuatu sebelum ditegur oleh Harris yang pelik
dengan kelakuan Aizat.
“Eh,
Aizat! Kau ni tiba-tiba berhenti kenapa? Apa yang kau tengok tu?”
Mata
Harris meliar mencari ‘benda’ yang membuat Aizat kaku seketika. Pertanyaan
Harris langsung tidak didengari oleh Aizat. Puas matanya meneliti, Harris
menjumpai ‘benda’ yang asyik dipandang oleh Aizat sedari tadi. Irina!
Kehadiran
Aizat dan Harris tidak jauh dari tempat Irina ‘bertapa’ masih tidak disedari
oleh Irina. Aizat begitu asyik menjadi pemerhati setiap tindak tanduk Irina di
tebing itu. Lidahnya seolah-olah kelu untuk menyapa gadis itu. Entah mengapa,
matanya bagaikan magnet dan Irina adalah besi yang sentiasa menjadi daya
tarikan matanya.
Harris
yang menyedari kelakuan aneh Aizat itu menepuk kuat bahu kawannya itu. Aizat
tersentak. Mujur dia tidak menjerit, jika tidak pasti Irina menyedari kehadiran
mereka di situ.
“Please
la Harris! Kau ni nak buat aku sakit jantung ke?”
“Alah,
jangan mengada la. Kau tu sihat walfaqliat lagi, nak kena serangan sakit
jantung kebenda. Come on la… tak berkelip aku tengok kau pandang ‘singa betina’
tu. Jangan-jangan kau dah tangkap syok dengan dia tak?” Harris cuba meneka.
Mana
tidaknya, setiap kali di dalam kelas, acap kali Harris perasan Aizat mencuri
pandang wajah Irina. Tapi untuk menegur, langsung tidak pernah. Jangankan
Irina, perempuan-perempuan yang menggilainya pun langsung tidak dilayan apatah
lagi mahu menegur gadis yang boleh mengelukan lidahnya tatkala bertembung mata!
“Ah!
Pandai-pandai je kau buat cerita dongeng.”
Aizat
cuba berdalih untuk menyembunyikan isi hatinya. Lantas dia menuntun semula
basikalnya. Hatinya berdebar-debar. Ingin menegur tetapi tidak berani untuk
menyapa.
“Weh,
kau tak nak tegur dia ke? Aizat!!”
Harris cuba mendahului Aizat. Cepat sahaja basikalnya
memintasi Aizat yang bergerak perlahan.
“Mungkin
dia nak bersendirian. Kalau tidak, mesti dia dah datang dengan kawan-kawan
perempuan dia yang lain.”
“Pernah
pulak aku tengok dia keluar berseronok-seronok dengan kawan-kawan lain. Dia tu
kan tak banyak cakap dan suka menyendiri. Hah! Kena la dengan kau tu yang tak
banyak cakap!”
Aizat
malas mahu melayan percakapan Harris. Sengaja dia buat tidak endah dan
mendiamkan diri. Langkahnya disegerakan sambil menuntun basikalnya. Harris
akhirnya mengalah, menuruti jejak Aizat.
Baru
beberapa tapak mereka melintasi tempat Irina menyendiri, mereka terdengar suara
jeritan Irina. Serentak, Aizat dan Harris berhenti melangkah. Jeritan Irina
mengejutkan mereka berdua. Tanpa menunggu lama, Aizat dan Harris segera
melepaskan basikal mereka dan berlari mendapatkan Irina.
Irina
yang tergelincir ketika mahu memanjat tebing sungai yang agak licin dan curam
sempat memaut akar kayu pokok yang berdekatan dengan tebing tersebut. Mujur dia
sempat berpaut, jika tidak sudah pasti dia dihanyutkan air sungai yang agak
deras itu.
Separuh
daripada badannya sudah terendam dalam air. Pergelangan kaki kanannya yang
terseliuh ditahankan saja dan dia cuba untuk memanjat tebing itu kembali, namun
usahanya gagal. Di dalam hatinya ada perasaan kesal kerana tidak mahu mendengar
pesan Nek Jah yang sudah banyak kali melarangnya ke tebing curam itu
lebih-lebih lagi apabila mengetahui Irina tidak pandai berenang.
Air
mata Irina sudah jatuh berderai apabila mengenangkan nasib nyawanya bagaikan
berada di hujung tanduk. Sempat dia berdoa meminta pertolongan daripada Allah
agar ada orang yang mendengar jeritannya tadi.
Kali
ini, jeritannya semakin kuat kerana pautannya pada akar tersebut semakin
longgar. Jari-jemarinya sudah tidak kuat untuk terus berpaut pada akar kayu
itu. Jika ajalnya datang menjemput ketika itu, dia pasrah. Matanya mulai
terpejam dan pautannya sudah terlerai…
“Irina!”
Suara
yang memanggilnya sebentar tadi dirasa bagaikan mimpi. Terasa bagaikan berada
di awang-awangan ketika itu. Pandangannya kelam, namun masih dapat melihat
bayangan seperti bentuk manusia di hadapannya. Samar – samar pandangannya
sebelum dia pengsan untuk kali keduanya.
“Aizat!
Tolong aku!”
Aizat
berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Suara Harris!
Harris
yang basah lencun dan termengah-mengah cuba menggagahkan diri untuk meminta
bantuan daripada Aizat. Tenaganya sudah banyak hilang ketika menyelamatkan
Irina yang hampir hanyut di bawa arus sungai tadi.
Mujur dia cepat bertindak, jika tidak sudah
pasti dia hanya berputih mata melihat Irina jauh dihanyutkan arus sungai itu.
Aizat
lantas menghampiri Harris yang sudah banyak kehilangan tenaga. Dipautnya tubuh
Harris berhampiran sebatang pokok yang berdekatan.
“Irina…aku
dah jumpa dia!”
“Kau
jumpa dia kat mana? Bagitahu aku cepat!” Aizat agak cemas mendengar berita itu
daripada Harris. Jantungnya hampir berhenti berdenyut kerana sudah memikirkan
yang bukan-bukan berkaitan Irina.
“Tak
jauh dari sini…dia hampir hanyut tadi, tapi aku sempat selamatkan dia…baik kau
tengokkan dia cepat…aku dah tak larat nak angkat dia…”
“Kat
mana?”
“Ikut
aku je la senang…nak explain pun aku tak larat la nak cakap...”
Harris
gagahkan diri semula untuk berdiri. Aizat membantu Harris berdiri semula.
Dengan sisa tenaga yang ada, Harris melangkah semula untuk mendapatkan Irina
bersama-sama dengan Aizat.
Runtun
hatinya melihat Irina yang terbaring di atas batu sungai. Cepat – cepat Aizat
turun ke tebing mendapatkan tubuh Irina. Aizat memangku tubuh Irina. Harris
hanya memerhati dari atas tindak tanduk Aizat. Biarlah, Aizat lebih berhak
terhadap Irina…
“Irina!
Bangun!”
Wajah
Irina yang pucat itu ditampar-tampar perlahan. Nadi di pergelangan tangan Irina
diperiksa. Aizat menarik nafas lega. Nadinya masih berdenyut. Aizat
mendongakkan sedikit dagu Irina untuk memudahkan udara masuk ke dalam rongga
pernafasan.
“Aizat,
Irina ok…jangan cemas sangat la…aku dah check tadi, dia cuma pengsan je. Over
la kau ni…sakit mata aku tengok.” Harris menyengih.
Sebenarnya
dia mahu menenangkan Aizat yang bersikap terlebih risau pada Irina. Dia faham
perasaan Aizat, sebab itulah dia tidak mahu membuatkan Aizat panik. Aizat
menjeling tajam pada Harris. Time genting macam ni pun dia boleh relax dan
melawak lagi!
“Irina
tak sedarkan diri lagi! Kau boleh pulak buat tak tau je! Kau ada hati perut ke
tak ni Harris?!”
Ah,
sudah… Aizat dah jadi gorilla…ni yang lomah ni…
“Aku
ada hati, ada usus perut lagi…haih kau ni, relax la der…aku dah buat bantuan
pernafasan tadi kat dia. Dia dah sedar cuma badan lemah lagi. Sebab tu dia
pengsan balik. Lain kali tanya pakar ye encik Aizat! Sudah, baik kita bawak dia
balik rumah dia lagi bagus.”
“Bantuan
pernafasan? CPR?” Aizat sudah memandang tajam pada Harris.
“Otak
kotor! Kau ingat CPR je ke? Mulut ke mulut? Dia belum kritikal lagi la sampai
aku tergamak nak buat macam tu. Banyak lagi cara lain aku boleh buat.”
Keterangan
Harris membuatkan Aizat berasa lega. Dia tidak mahu Irina diapa-apakan oleh
buaya seperti Harris walaupun Harris adalah rakan baiknya sendiri.
Harris
turun untuk membantu Aizat memapah Irina naik ke tebing sungai. Basikal mereka
dibiarkan sahaja di situ. Ketika ini, diri Irina lebih diutamakan. Dengan
gabungan kekuatan dua orang lelaki, amat mudah untuk memapah Irina yang masih
tidak sedarkan diri.
Nek
Jah yang sedang menyapu di laman terkejut apabila melihat Aizat dan Harris
memapah Irina yang tidak sedarkan diri. Segera dia mencampakkan penyapu untuk
mendapatkan Irina.
“Ya
Allah! Apa dah jadi ni? “
“Irina
jatuh sungai, Nek Jah.” Ujar Aizat.
“Bawak
Irina ke atas, Aizat... Harris.”
Irina
dipapah sehingga ke ruang tamu, kemudian dibaringkan Irina di atas sofa. Nek
Jah tergopoh-gapah mendapatkan tuala bagi membaluti tubuh Irina yang masih
basah. Aizat dan Harris masih setia berada di samping Irina tanpa bersuara. Irina masih tidak sedarkan diri. Kerisauan
jelas terpancar di wajah orang tua itu.
“Terima
kasih lah Aizat… Harris… kalau tak ada kamu berdua Tok tak tau apa jadi dengan
Irina sekarang ni…”
“Kebetulan
Tok kami ada kat situ. Kami dengar suara perempuan menjerit. Terus kami
bergegas tengok apa yang terjadi. Mujur Harris selamatkan Irina daripada terus
dihanyut air sungai dekat muara tu. Kalau tak kami pun tak tau apa jadi dengan
Irina sekarang ni. Semua tu kuasa Allah… mungkin ada hikmahnya saya dan Harris
lalu di situ.” Aizat menerangkan duduk perkara sebenar kejadian petang tadi.
Nek
Jah memanjat rasa syukur terhadap Ilahi kerana masih memanjangkan umur cucu
tunggalnya. Dibelai rambut Irina dengan penuh kasih sayang.
Wajah
polos milik Irina yang sedikit pucat itu diusap perlahan-lahan. Kasihan melihat
nasib Irina yang malang. Menitis air matanya melihat keadaan Irina yang banyak
memendam rasa, namun cepat – cepat dia mengesatnya dengan hujung baju kurung
yang dipakainya apabila menyedari dia tidak berseorangan di situ. Perhatiannya
beralih kepada Aizat dan Harris. Pakaian Harris yang lencun itu dipandang. Dia
perasan Harris sedang kesejukan.
“Harris,
basah pakaian kamu tu nak… nanti nenek ambilkan tuala. Jatuh sakit pulak kamu
nanti.” Nek Jah berkira – kira mahu bangkit dari sofa tetapi ditegah oleh
Harris.
“Nek
Jah tak perlu lah. Lagipun kami dah nak balik. Hari pun dah lewat petang.
Mengamuk orang tua kami nanti.” Harris menolak perlawaan Nek Jah dengan sopan.
Tidak mahu menyusahkan orang tua itu.
“Kamu
berdua dah nak balik? Cepatnya? Maghrib saja la kat sini. Sekejap lagi balik la
Tok Karim. Nanti Nek Jah suruh dia cakapkan dengan orang tua kamu berdua.
Kejap, Nek Jah ambilkan baju ganti. Baju lama ayah Irina pun masih ada di rumah
ni.”
“Takpe
Nek Jah, rumah saya pun bukan jauh pun. Irina pun perlukan rehat dan perhatian
daripada Nek Jah.”
“Ha,
yelah. Terima kasih banyak – banyak nak… mujur ada kamu berdua…”
Seusai
bersalaman dengan Nek Jah, Harris dan Aizat meminta izin untuk beredar pulang
ke rumah. Nek Jah hanya mengangguk – anggukkan kepalanya.
Selepas
kedua – dua pemuda tersebut hilang daripada pandangan, Nek Jah masuk semula ke
dalam rumah mendapatkan Irina yang masih lena di atas sofa…
No comments:
Post a Comment