BAB
4
Alunan bacaan surah Yassin yang diperdengarkan oleh
kaum Adam yang hadir di majlis tahlil rumah Encik Hamdan memecahkan suasana
sunyi waktu malam di Kampung Dusun Setia. Sebaliknya, kaum Hawa yang turut hadir
di majlis tersebut pula sibuk membantu kaum keluarga Encik Hamdan menghidangkan
santapan buat para tetamu di dapur. Irina yang ditemani oleh Nek Jah juga turut
sama meringankan tulang membantu apa yang perlu untuk hidangan para tetamu.
“Jah, ni ke cucu tunggal kau tu? Dah besar panjang
rupanya…” Mak Yah, isteri kepada penghulu Kampung Dusun Setia tersebut
mendekati Nek Jah yang sedang menyusun kuih-muih di dalam talang sambil dibantu
oleh Irina.
“Aah, cucu aku la ni Yah oi…” Nek Jah cuba bersikap
ramah dengan Mak Yah yang terkenal dengan mulut becoknya.
“Cucu
kau je? Anak kau mana? Takkan tak balik kot cuti-cuti macam ni. Kuala Lumpur tu
bukan jauh sangat pun dengan Johor. Dengar cucu kau pindah sekolah kat kampung
ni?” Mak Yah sudah mula membuka topik untuk bercerita.
“Memang
la tak jauh Kuala Lumpur tu Yah, tapi kalau dah namanya bekerja makan gaji
dengan orang terpaksa la kena ikut kata bos dia tu. Lagipun si Johan sekarang
dipindahkan ke Australia makin susah la nak balik.” Nek Jah sekadar menjawab
ala kadar sahaja.
“Australia?
Untung kau Jah, anak kerja bagus tapi kesian jugak aku tengokkan si Areen ni,
nak jumpa mak bapaknya bukan main susah. Lepas cerai, Karina tak pernah jenguk
si Areen kat sini ke? Yelah, tak rindu ke dia pada anaknya? Apa jenis mak la
kalau lupa anak sendiri.” Irina diam seribu bahasa mendengar perbualan Nek Jah
dan Mak Yah yang laser itu.
“Yah,
kau bawak dulang ni ke depan. Jemaah lelaki pun dah selesai baca tahlil tu.”
Nek Jah membiarkan sahaja pertanyaan tersebut tidak berjawab tetapi sengaja
mengalihkan topik perbualan.
Mak
Yah membuat muka cemberut tetapi tidak membantah permintaan Nek Jah itu. Cepat
sahaja dia bangun meninggalkan Nek Jah yang tidak mengendahkannya.
Selesai
sahaja majlis, Nek Jah mengajak Irina pulang. Tok Karim sempat berpesan kepada mereka
supaya pulang terlebih dahulu memandangkan dia masih sibuk berbual dengan
beberapa orang tetamu yang hadir pada malam itu.
Setelah
bersalaman dengan ahli keluarga Encik Hamdan dan tetamu-tetamu wanita yang
masih belum beredar, mereka beriringan berjalan kaki pulang memandangkan jarak
rumah Encik Hamdan dan rumah mereka hanya selang beberapa buah rumah sahaja.
“Irina!”
Langkah
Irina terhenti tatkala namanya dipanggil seseorang. Dia berpaling ke belakang.
Kelihatan kelibat Aizat terkocoh-kocoh berlari mendekati mereka.
“Mak
pesan bagi barang ni pada awak. Dia terlupa nak bagi tadi masa awak bersalaman
dengan dia. Mujur awak jalan tak jauh lagi dari rumah Harris. Nah, ambillah.”
Irina menyambut huluran sebuah bungkusan
daripada Aizat.
“Barang
apa ni?” Irina kehairanan. Aizat hanya menggeleng kepala tanda tidak tahu.
Nek
Jah cuma memerhatikan sahaja perbualan mereka berdua. Langsung tidak diganggu. Ada
sedikit kerutan di wajahnya tatkala mendengar barangan tersebut daripada ibu
Aizat.
“Nek
Jah. Marilah saya temankan Nek Jah dan Irina balik. Bahaya jalan berdua je
perempuan malam-malam macam ni. Gelap pulak tu.” Aizat mempelawa dengan penuh
sopan.
“Hah,
elok juga tu kamu nak temankan, Aizat. Marilah.” Nek Jah sudah berjalan
terlebih dahulu. Irina dan Aizat berjalan beriringan menyaingi langkah Nek Jah.
Sepanjang
perjalanan, Aizat dan Nek Jah sahaja yang banyak berbual. Irina masih lagi
memikirkan apakah bungkusan yang diberi oleh ibu Aizat. Kenapa ibu Aizat beri
bungkusan tu pada aku? Ada apa-apakah?
Persoalan
demi persoalan bermain di fikiran Irina. Dibeleknya bungkusan tersebut, namun
keadaan yang gelap menyukarkan Irina untuk meneka barangan tersebut. Langsung
tidak diendahkan Nek Jah dan Aizat yang berjalan di hadapannya. Fikirannya
menerawang entah kemana. Tidak sedar pun mereka sudah sampai di hadapan rumah.
“Irina.
Awak okey?” Aizat melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Irina. Irina
sedikit terkejut dengan perbuatan Aizat sebentar tadi. Hampir terjatuh
bungkusan yang dipegang tadi.
Irina
mengangguk perlahan. Kelibat Nek Jah sudah tiada. Mungkin sudah masuk ke dalam
rumah. Sengaja ditinggalkan mereka berdua untuk memberi ruang kepada Irina dan
Aizat untuk berbual.
“Sebenarnya
saya pelik kenapa mak awak nak bagi bungkusan ni pada saya? Sedangkan saya tak
pernah bercakap pun dengan mak awak. Cuma sekali je masa Tok suruh saya bagi
juadah pada mak awak. Itu pun cuma tanya nama.”
Irina
memandang Aizat. Jarang mereka berbual begini walaupun mereka sekelas.
“Saya
pun pelik sebenarnya tapi saya cuma sampaikan amanah mak saya je. Dia pun tak
kata apa-apa selain daripada suruh serahkan bungkusan tu pada awak. Tu je.”
Aizat
cuma memerhatikan bungkusan berwarna coklat yang ada di tangan Irina. Apalah
yang mak cuba sembunyikan daripada aku? Beria benar dia bertanya mengenai Irina
apabila mendapat tahu Irina berpindah ke kampung dan juga kini menjadi rakan
sekelasnya.
“Em
tak apalah. Saya buka bungkusan ni kemudian je. Awak pun baliklah. Dah lewat
malam ni.” Aizat hanya mengangguk.
“Saya
balik dulu lah kalau macam tu. Sampaikan salam saya pada Nek Jah dan Tok Karim.
Assalamualaikum…”Aizat memberi salam sebelum beredar meninggalkan rumah
tersebut.
“Waalaikumussalam…”
Irina menjawab perlahan.
Sebaik
sahaja kelibat Aizat hilang daripada pandangannya, Irina cepat-cepat menaiki anak
tangga rumah kayu tersebut dan masuk ke dalam bilik tidurnya. Tidak sabar untuk
membuka bungkusan yang diberi oleh ibu Aizat.
Pintu
bilik ditutup rapat. Bungkusan tersebut diletakkan di atas katil sementara dia
menukar pakaian tidur. Sebaik sahaja Irina melabuhkan dirinya di atas katil,
pembalut berwarna coklat yang membaluti bungkusan tersebut dibuka dengan penuh
berhati-hati.
Sebaik
sahaja ia dibuka, sebuah kotak kayu berbentuk segi empat serta berukir corak bunga
tulip berada di hadapan matanya. Kotak berwarna coklat itu begitu unik dan
menarik hati Irina.Mata Irina membulat apabila terpandang seutas rantai emas
beserta loket berbentuk hati berada di dalam kotak tersebut sebaik penutupnya
dibuka.
Perlahan-lahan,
Irina mencapai rantai emas tersebut. Loket yang berbentuk hati tersebut begitu
unik kerana dihiasi corak ala Inggeris. Puas Irina membelek loket tersebut
kerana teruja dengan keunikannya sebelum dia menyedari ia boleh dibuka. Lantas,
Irina membuka loket tersebut. Mata Irina tertancap pada sekeping gambar wanita
Inggeris yang terdapat di dalam loket itu serta jam yang terletak disebelahnya.
Buatannya sangat halus dan mengujakan.
Tiba-tiba,
pintu biliknya diketuk. Cepat-cepat Irina memasukkan rantai tersebut di dalam
kotak itu kembali. Kotak tersebut disimpan di dalam meja belajarnya. Sebaik
pintu dibuka, Nek Jah masuk ke dalam bilik Irina. Irina yang tercegat di
hadapan pintu cuma tersenyum kecil memerhatikan Nek Jah yang duduk di hujung
katil.
“Areen.
Tok nak cakap sikit boleh?” Nek Jah mula membuka bicara.
“Ada
apa Tok?” Irina mendekati tubuh neneknya yang sudah dimamah usia itu.
“Tok
tengok kamu ni sejak tinggal di sini macam tak ceria je. Masih memikirkan
tentang papa dan mama Areen ye?”
Rambut
Irina yang panjang paras bahu itu di belai lembut. Kecantikan Irina semakin
menyerlah selari dengan peningkatan usia remajanya. Wajahnya yang seakan-akan
mempunyai darah kacukan itu dipandang dengan penuh kasih.
“Tak
lah Tok. Areen okey je.” Irina menundukkan kepalanya apabila topik berkaitan
ibu bapanya ditimbulkan.
“Areen.
Setiap takdir yang berlaku kadang-kala kita tak boleh menjangka. Apa yang
berlaku Tok harap Areen sabar menghadapinya. Sebenarnya, Tok ada benda nak
beritahu kamu tapi waktu sekarang tak sesuai lagi untuk Tok cakapkan. Bila tiba
masanya nanti, Tok akan beritahu.”
Irina
bertambah bingung. Selama ni ada benda ke yang dirahsiakan daripada aku?
“Sudah.
Jangan difikirkan sangat. Pergi tidur.” Nek Jah memujuk lembut.
Irina
mengangguk perlahan. Nek Jah mengucup lembut dahi cucunya sebelum keluar
daripada bilik tersebut. Irina hanya memandang sahaja. Apa sebenarnya benda
yang cuba diberitahu oleh Tok? Rantai emas yang diberikan oleh ibu Aizat pula
milik siapa sebenarnya? Dan siapa pula wanita di dalam gambar tersebut? Persoalan
yang bermain di minda Irina tiada satu pun yang terjawab…
No comments:
Post a Comment