Monday, September 17, 2012

Novel bersiri: Takdirku Hanyalah Untukmu (Bab 12)


BAB 12

Nek Jah yang sedang memberi makan ayam di halaman rumah ditambat dengan perasaan gembira apabila melihat kemunculan Johan. Alangkah rindunya hati pada si anak yang sudah berbulan – bulan meninggalkan tanah air. Terus diletakkan bekas dedak ayam di atas tangga beranda untuk mendapatkan anak lelakinya itu. Johan segera mencium tangan ibunya. Menitis air mata seorang ibu terharu dengan kepulangan Johan.
            Johan menyambut huluran salam daripada ibunya. Dikucup lembut tangan wanita tua itu. Sedikit terkilan kerana sudah sekian lama tidak pulang ke kampung melihat orang tuanya. Walhal, ketika masih berada di Kuala Lumpur juga begitu. Kerana rajuk semalam, keluarga menjadi mangsa keadaan.
            “Mak apa khabar?”
       “Sihat nak, Alhamdulillah… Mari naik Johan.” Pelawa Nek Jah. Kegembiraan jelas terpamer di wajahnya.
Johan mengekori langkah  ibunya. Johan melangkah dengan penuh berhati – hati menaiki tangga kayu rumah itu. Setiba di ruang tamu, dipandangnya sekeliling. Masih sama seperti dahulu, getus hatinya. 
            “Beg kamu tu letak dulu dalam bilik. Rehat – rehat la dulu sementara mak siapkan hidangan petang. Bilik kamu tu pun tak ada sesiapa pun yang duduk. Masih macam tu dari dulu Johan.”
            Johan menarik bagasinya menuju ke bilik yang suatu ketika dulu pernah dihuninya. Diperhatikan segenap ruang bilik itu. Tiada apa yang berubah. Hanya cadar katil saja yang diganti baru. Imbauan kenangan dahulu menggamit kembali namun cepat saja dia tersedar. Nafasnya dihela perlahan. Tercari – cari akan anak perempuannya.
            “Ayah dengan Areen mana mak?” Matanya masih memerhatikan sekeliling. Setelah meletakkan bagasinya di dalam bilik, cepat sahaja dia ke dapur menemani ibunya membuat air.
“Petang – petang macam ni selalunya ayah ke baruh. Tengok pekerja dia petik sayuran yang dah matang. Sebab esok pagi – pagi pemborong dah datang ambil.” Terang Nek Jah. Tangannya masih lincah membuat air kopi dan menggoreng pisang yang dibawa pulang oleh Tok Karim semalam.
            “Areen?”
            “Ikut ayah kamu ke baruh. Nak ambil angin petang katanya. Dah dua hari terperap dalam bilik, hari ni sibuk nak ikut ke kebun. Mak bebelkan pun bukan nak dengar, Johan. Padahal bukan sihat sangat budak tu. Ayah kamu tu pun ikutkan je kehendak dia.”
Nek Jah mengangkat pisang yang sudah digoreng garing ke dalam tapis supaya lebihan minyak pada pisang itu dapat ditoskan. Kemudian, pisang – pisang yang sudah dibelah dua awal – awal lagi dicelup di dalam tepung gorengan dan dimasukkan ke dalam kuali berisi minyak panas.   
Kopi panas yang sudah siap dihidang di atas meja makan dituang di dalam cawan. Berkepul – kepul asap yang keluar dari corong teko tersebut. Johan menyisip perlahan kopi tersebut. Aroma harum yang dihasilkan oleh kopi tersebut memikat hati Johan. Sudah agak lama tidak merasai kopi itu. 
Baginya, kisaran kopi buatan sendiri Pak Kassim di mana ia adalah resepi turun – temurun keluarganya yang berniaga kedai runcit di kampung tersebut tiada tandingan. Bapanya memang menggemari kopi buatan Pak Kassim sejak dia kecil lagi dan boleh dikatakan menjadi penggemar setia kopi tersebut sehingga sekarang.
Pisang yang sudah separuh digoreng oleh Nek Jah yang diletakkan di atas meja bersama – sama kopi tadi diambil satu dan disuakan ke dalam mulut. Kepuasan menikmati hidangan petang itu begitu dirasai. Jika di bandar, jarang benar dia dapat meluangkan masa seperti ini. Lebih – lebih lagi setelah dipindahkan ke Melbourne. Peluang sedemikian langsung tidak diperolehi.
Jam dinding di dapur dikerling. Jarum jam sudah menunjukkan dekat pukul 6 petang. Tok Karim dan Irina masih belum pulang. Tidak sabar rasanya ingin berjumpa dengan anaknya itu.
Selang beberapa minit, bunyi deruman enjin kereta jelas kedengaran menghampiri laman rumah. Pasti ayah dan anaknya sudah pulang!
Irina yang membimbit beberapa beg plastik berisi pelbagai sayuran segera ke dapur untuk memberinya kepada Nek Jah. Saat salam diberi, dia terkedu mendengar suara lelaki yang cukup dikenalinya. Papa!
Beg plastik yang dibimbit tadi terlepas daripada tangannya. Tok Karim yang baru muncul di dapur sudah mengagak puncanya. Seperti tiada apa – apa yang berlaku, Tok Karim menghampiri Johan. Lekas saja Johan bangkit mendapatkan ayahnya. Tangan Tok Karim disalam dan dicium. Irina pula masih tercegat di depan pintu masuk.
“Areen, kenapa tercegat kat situ? Papa kamu balik ni. Tak nak salam ke?” tingkah Tok Karim.
 Johan yang melihat reaksi dingin Irina langsung tidak berkata – kata. Lidahnya kelu untuk menegur anaknya. Sedar dirinya yang mengabaikan tugas sebagai seorang bapa yang baik untuk Irina. Johan cuba untuk mengambil hati anaknya itu.
“Areen, papa dah balik sayang… Mari dekat papa.” Johan cuba mendekati Irina. Rindunya pada si anak semakin terasa.
Irina masih tidak berganjak. Hatinya seolah disiat – siat apabila melihat bapanya pulang secara tiba – tiba. Langsung tidak dikhabarkan berita kepulangan tersebut.
“Buat apa papa balik? Papa penipu! Papa tipu Areen selama ni! Apa lagi yang papa nak sembunyikan dari Areen?!” Tersentak Johan melihat Irina yang naik darah secara tiba –tiba.
“Irina! Apa Areen merepek ni? Papa Irina baru balik tu. Kenapa cakap yang bukan – bukan?” agak keras suara Tok Karim. Dia tidak mahu Irina bersikap kurang ajar dengan bapanya sendiri. Meskipun dia tahu Johan pernah membuat silap.
 Irina bungkam. Emosinya mula menguasai diri. Terasa dengan teguran Tok Wannya. Sakit hati melihat papanya yang dimenangkan. Dia terus berlari masuk ke bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Berdentum bunyinya. Johan terkelu. 


Johan duduk berteleku di anjung rumah. Gelap malam dan suasana sepi menggamit kalbunya. Seusai bersolat Isyak tadi, sengaja dia menghabiskan masanya duduk – duduk di situ. Irina langsung tidak mahu bercakap dengannya sejak petang tadi. Rajuknya masih bersisa.
Semasa makan malam tadi, puas dipujuk untuk makan bersama oleh Nek Jah. Itupun langsung tidak dipedulikan teguran Johan. Selesai sahaja makan, terus dia berkurung di dalam bilik. Hiba hatinya melihat layanan Irina pada dirinya.
“Apa yang dimenungkan tu, Johan?”
            Bahu Johan ditepuk perlahan oleh Tok Karim. Johan yang sedang duduk di muka pintu mengensot sedikit kedudukannya untuk memberi ruang kepada Tok Karim. Melihat perbuatan Johan, tahulah dia yang anaknya itu memberi ruang untuknya duduk bersama – sama.  
            Johan masih lagi berdiam diri. Sekadar melayan  perasaan sendiri. Tok Karim yang melihat Johan tidak bercakap memulakan mukadimahnya.
            “Jangan ambil hati dengan sikap Areen tu Johan. Ayah pun terkejut dia boleh memberontak sampai begitu sekali. Sejak dia tinggal di sini jarang benar dia meluahkan isi hati dia. Semuanya dipendam sendiri.”
            “Johan yang salah ayah. Tak dapat bahagiakan anak sendiri.” Ada sebak di sebalik kata – katanya itu.
            “Ayah tak mahu campur tangan urusan hal rumah tangga kamu, Johan. Tapi janganlah  kisah lama tu diingat kembali. Yang penting sekarang hal Areen. Dia masih muda. Perlukan sokongan daripada orang tuanya.”
            “Johan tahu ayah. Tapi Johan kesal sebab sampai sekarang Johan tak dapat jejaki Maria. Ibu kandung Areen. Areen dah makin remaja, saya tak dapat sorok perkara tu lagi.” nada suaranya semakin mengendur. Betapa perit hatinya mengingati kisah yang lalu.
            “Yang sudah tu sudah lah Johan. Semua itu takdir. Apa yang berlaku ada hikmahnya. Kamu pujuklah Areen. Dia dah tahu hal sebenarnya. Zulaikha dah ceritakan sedikit sebanyak pasal ibu kandungnya.”
Kenyataan Tok Karim tadi mengejutkan Johan.
“Areen dah tahu?” mukanya diraup. Johan makin bingung. Perlukah dia menceritakan kesemuanya?
Tok Karim mengangguk. Kemudian ditepuk – tepuknya bahu Johan.  
“Berterus – teranglah. Jangan dibiarkan hatinya semakin sakit. Ayah masuk dulu.”
Tok Karim bangun dan masuk ke dalam rumah. Tinggal Johan bersendirian di situ. Dia sedar, dia perlu menerangkan hal sebenar pada anaknya. Selama ini Johan bersikap berdiam diri dan menyembunyikan hal sebenar daripada Irina.
Disangkanya selepas dia berkahwin dengan Karina, dia mampu melupakan kisah silamnya bersama Maria. Cukuplah sekadar Irina tahu yang Karina adalah mamanya. Sudah diletakkan syarat agar tidak membuka cerita yang dia bukan ibu kandung Irina. Demi cinta, Karina bersetuju menjadi pengganti. Namun, mahligai yang cuba dibina tidak sekukuh mana. Benarlah kata orang, jika hati masih mengikat benda yang lama, hidup baru yang bakal dicipta tidak dapat mengundang bahagia! 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...